Monday, 3 June 2013

Rakan KaribAnugerah TIDAK TERNILAI

Rakan karib anugerah tidak ternilai

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
MEMILIKI rakan karib bagaikan anugerah yang begitu tinggi nilainya bagi kebanyakan orang kerana dalam berbilion penduduk di dunia ini, kita mempunyai seseorang yang boleh dipercayai dan diharapkan.
Lebih istimewa, rakan karib boleh diajak berkongsi minat dan hobi serta mudah berbicara mengenai apa saja topik, tanpa membuatkan kita berasa terpinggir setiap kali berada bersama rakan lain. 
Mereka adalah penyokong setia dalam apa keadaan sekali pun tetapi pada masa sama, rakan karib yang mempunyai nilai murni adalah golongan yang berani menegur apabila kita melakukan kesalahan supaya kita menjadi manusia lebih baik. 

Apabila kita sugul, rakan karib selalunya akan berusaha menceriakan dan menguatkan semangat kita dengan kata-kata positif serta membimbing ke jalan yang diredhai Allah.

Rakan karib adalah individu paling rapat kepada seseorang selain keluarganya dan menjadi tempat untuk berkongsi segala macam permasalahan hidup daripada hal remeh-temeh hingga isu besar.

Namun dalam setiap yang manis, pasti ada pahitnya kerana rakan karib juga seorang manusia dan mereka tidak terlepas daripada perasaan cemburu atau rasa rendah diri apabila melihat kejayaan rakannya. 

Biarpun di mulut memuji, namun ada kalanya jauh di sudut hati, terbit rasa cemburu apabila rakan mendapat lebih kejayaan menyebabkan rakan karib menjauhkan diri secara perlahan-lahan hingga akhirnya mereka hilang daripada hidup kita. 

Kehilangan rakan karib sudah tentu menyedihkan kerana bukan mudah untuk mencari penggantinya. Lebih sayu sekiranya mereka menjauhkan diri tanpa sebab musabab yang dapat kita sendiri fahami. 

Oleh itu, bagaimanakah cara untuk mengekalkan persahabatan yang sudah terjalin sejak sekian lama? Ada beberapa tip yang boleh kita sama-sama amalkan untuk terus mengukuhkan hubungan baik dengan sahabat tersayang. 

1. Mempunyai rasa empati yang kuat terhadap rakan anda seperti merasai apa yang dirasainya dan cuba memahaminya. Jangan sesekali mengeluarkan kenyataan negatif apabila berasa rakan anda cemburu dengan kejayaan anda. 

2. Jika ada sebarang isu, berbincanglah dengan sikap terbuka. Carilah jalan untuk berbicara dengannya. Mulakan perbincangan dengan memuji kebaikannya dan betapa anda sangat menghargai kehadirannya dalam hidup anda. Berdiam tanpa berusaha untuk mencari penyelesaian apabila rakan menjauhkan diri bukan saja tidak menyelesaikan masalah, malah ia memusnahkan persahabatan. 

3. Tidak meletakkan ego lebih tinggi daripada sebuah persahabatan. Biarpun anda berasa sakit hati dengan sikap rakan anda yang tiba-tiba tidak mahu lagi keluar bersama, cuba bersabar dan berusaha memperbaiki hubungan. 

4. Bersikap bertanggungjawab terhadap segala permasalahan yang timbul dan jangan letakkan kesalahan semata-mata pada bahu rakan karib anda. Elakkan menyalahkannya sebaliknya ambil pendekatan berbincang dan meletakkan diri anda sebagai pihak yang turut menyumbang kepada permasalahan yang timbul. 

5. Tidak buruk sangka pada rakan dan sentiasa memikirkan perkara yang positif mengenainya seperti saat dia membantu ketika anda berada dalam kesempitan dan bagaimana dia memberi semangat untuk bangkit semula daripada kejatuhan. 

6. Sentiasa berbuat baik pada rakan anda biarpun ia dibalas dengan kedinginan kerana hatinya akan cair dengan kebaikan yang ditunjukkan. Dia akan sedar kesilapan sendiri dan mengakui anda adalah rakan yang terbaik. 
7. Sentiasa menghargai rakan anda termasuk mengingati tarikh yang penting baginya seperti hari lahir dan menghadiahkan ucapan, kad atau barangan yang disukainya. 

8. Menunjukkan kasih sayang pada rakan dan berusaha menggembirakan hatinya di kala dia berada dalam kesedihan dan kesunyian. Ia boleh dilakukan dengan sentiasa meluangkan masa apabila dia memerlukan anda. 

9. Sentiasa bersikap jujur dan ikhlas pada rakan serta tidak menipunya biarpun dalam perkara kecil kerana itu akan menyebabkan kepercayaannya pada anda luntur. Apabila penipuan berlaku, agak sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan yang sudah hilang dan secara tidak langsung, hubungan akan menjadi renggang dan sukar dipulihkan. 

10. Memperuntukkan masa yang cukup untuk rakan dengan menghabiskan waktu lapang bersama melakukan aktiviti yang digemari seperti menonton wayang atau melakukan hobi yang dikongsi. 

11. Bersikap ceria dan jangan terlalu mengambil serius setiap perkara yang berlaku. Jika rakan merajuk, pujuk dengan cara melucukan dan jangan biarkan keadaan melarat hingga membuatkan rakan terus menjauhkan diri apabila anda buat tidak tahu kerana berasa anda tidak bersalah dan lebih mementingkan ego. 

12. Tenang ketika menghadapi sebarang dilema dan tidak cepat melatah. Apabila kita bersikap tenang, lebih mudah untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada apa juga masalah yang timbul termasuk hubungan yang mulai renggang. 

13. Bersikap memberi dan tidak meminta adalah nilai yang terbaik boleh diamalkan bagi menguatkan hubungan dengan rakan-rakan. Ini kerana sekiranya sering meminta dan kurang memberi, rakan akan berasa seperti dipergunakan dan tidak dianggap kawan sejati. 

14. Menyedari setiap orang berubah mengikut peredaran zaman. Ada kalanya individu yang kita kenal ketika kecil, bukan orang yang sama apabila sudah dewasa. Pemikiran dan personaliti berubah mengikut persekitaran dan tahap pendidikan. Memahami perkara berkenaan penting supaya kita boleh berfikir dengan lebih baik dan tidak terlalu mengikut perasaan. 

15. Berusaha untuk terus berhubung biar sesibuk mana pun kita ataupun dipisahkan oleh jarak yang jauh, misalnya ketika melanjutkan pengajian selama beberapa tahun di luar negara sedangkan rakan karib masih di Malaysia. Persahabatan boleh kekal jika kita sering komunikasi tidak kira melalui telefon, laman sosial atau emel. Gunakan kemudahan yang ada untuk terus berhubung dengan rakan anda. 

16. Kesibukan harian terutama apabila seseorang sudah mula bekerja akan menyebabkan pelbagai perkara lain tertunda dan sering dilupakan termasuklah rakan karib yang dikenali sejak sekolah. Jika sayangkan hubungan itu dan mahu ia kekal, cari masa dan habiskan bersama rakan biarpun untuk sekejap saja seperti minum petang atau membeli-belah. 

17. Lakukan perkara yang selalunya dilakukan sendirian bersama rakan misalnya mengajak rakan ke rumah dan memasak resipi baru atau belajar menjahit bersama-sama. Senaraikan perkara yang anda ingin lakukan bersama rakan baik. 

18. Mengambil cuti panjang dan melancong bersama rakan tidak kira dalam atau luar negara, dekat atau jauh, asalkan dapat menghabiskan masa dengannya. Lakukan perkara ini sebagai rutin bulanan atau tahunan. 

19. Banyakkan ketawa bersamanya dengan cara berkongsi cerita jenaka. Jika tiada masa untuk duduk bersama, anda boleh berkongsi cerita kelakar menerusi emel. Sifat ceria dan positif seperti gelak-tawa akan merapatkan hubungan dan membuatkan kita gembira apabila menghabiskan masa bersama. 

20. Jika ingin hubungan dengan rakan karib terus baik, setiap individu perlu berusaha gigih untuk mendapat hasilnya dan bukan hanya mengharapkan hanya satu pihak saja yang berusaha. Hubungan hanya akan berjaya sekiranya ia diusahakan secara bersama kerana ingat, persahabatan tidak terjalin dalam satu hala.

No comments:

Post a Comment